Friday, March 25, 2011

Dari lidah pengarang MyKhilafah.Com

DARI LIDAH PENGARANG
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Bulan Mac tahun 1924, umat Islam dikejutkan dengan berita duka, keruntuhan Daulah Islamiyyah (Khilafah Uthmaniyyah) yang sekaligus meragut perisai umat Islam.  Saat ini, di bulan Mac tahun 2011, genap 87 tahun dari detik hitam itu, umat Islam masih belum menemukan perisai tersebut.  Malah, bumi yang dihuni umat Islam terus menerus bergolak, umat Islam dipimpin oleh pemimpin yang mengkhianati mereka, umat Islam ditindas, darah dan maruah umat Islam sudah tidak terbela.  Dengan sistem hidup Kapitalis Sekular yang diperkenalkan oleh kuffar Barat, umat Islam terus terjerat dan diatur sepenuhnya oleh pengaturan yang rosak.  Edisi Khas Fikratul Ummah baru-baru ini diterbitkan dengan tema “Mencari Perisai Yang Hilang” secara khusus mengangkat artikel-artikel berkaitan dengan revolusi Arab dengan mengenengahkan isu-isu pergolakan dan kebangkitan Mesir.  Keluaran tersebut mampu menjadi satu wadah informasi alternatif kepada para pembaca.

Dalam suasana kehangatan pergolakan yang masih belum padam, Fikratul Ummah Mac mengambil kesempatan memaparkan kepada para pembaca ringkasan rentetan peristiwa yang berlaku di Mesir.  Kami mengajak para pembaca merenung dengan fikiran waras yang berpandukan wahyu, ke mana halatuju sebenar umat Islam hari ini.  Renunglah sedalam-dalamnya firman Allah swt:  “Kamu (umat Islam) adalah umat yang terbaik yang dilahirkan dari kalangan manusia ...” [TMQ ali-Imran (3):110].  Ke manakah hilangnya kualiti umat terbaik yang disebut dalam ayat di atas sehingga mereka ditindas, dihina, diperlakukan dengan kejam dan seumpamanya?

Tidak cukup dengan serangan dan penindasan fizikal musuh-musuh Islam ke atas umat Islam, mereka dengan berterusan, menyerang umat Islam secara halus melalui serangan pemikiran.  Serangan ini dilakukan dalam pelbagai bentuk terutamanya dalam membentuk cara hidup (way of life) umat Islam.  Muslimah khususnya tidak henti-henti menjadi sasaran mereka, persis peristiwa si iblis menggoda Hawa yang justru membawa kemurkaan Allah swt (dirakam melalui firmanNya dalam surah [al-Baqarah(2):35-36].  Untuk itu, para pembaca dipaparkan dengan artikel tentang mitos kecantikan dan pengaturan hidup antara lelaki dan perempuan di dalam Islam.  Kedua-dua artikel ini membongkar agenda busuk musuh Islam untuk memalingkan umat Islam khususnya para muslimah dari syariat Islam yang mulia.  Tidak ketinggalan perbincangan menarik Fikih Muslimah yang mengutarakan persoalan Hukum Syara’ berkaitan ikhtilath (percampuran antara lawan jenis).  Semoga tulisan ini dapat menjana inspirasi kepada para pembaca dan agar usaha yang kecil ini mampu memberi satu perubahan ke arah pelaksanaan sistem Islam yang sempurna dengan tertegaknya Daulah Khilafah.  Wallahu a’lam.
 

REFORMASI ATAU KEBANGKITAN HAKIKI?
Rejim monarki Iran di bawah Shah Mohamad Reza Pahlavi digulingkan pada 1979 dalam revolusi rakyat yang dikenali sebagai Revolusi Islam Iran, dipimpin oleh seorang Ulama Ayatollah Ruhollah Khomeini setelah Reza Pahlavi dikecam rakyatnya sebagai boneka barat yang mengamalkan fahaman Sekular dan menyalahgunakan kuasa.  Kerajaan pimpinan Presiden Tunisia Zine al-Abidine Ben Ali digulingkan pada 14 Januari lalu selepas memerintah secara kuku besi selama 23 tahun.  Pemberontakkan rakyat Tunisia memaksa Ben Ali meletakkan jawatan dan melarikan diri ke Arab Saudi bersama ahli keluarganya.  Ben Ali rebah kerana gelombang kebangkitan rakyatnya.  Terbaru dan masih lagi panas kerana apinya masih marak menyala adalah kejatuhan Presiden Mesir, Hosni Mubarak yang terpaksa meletakkan jawatan dan menyerahkan kuasa kepada tentera setelah rakyat Mesir memulai pemberontakan sebagai manifestasi gelombang reformasinya selama 18 hari.  Hosni Mubarak mengamalkan dasar pemerintahan autokratik selama 30 tahun selepas mengambil alih jawatan tersebut dari Anwar Sadat yang ditembak mati pada tahun 1981.  Kemiskinan, pengangguran, birokrasi, korupsi dan kezaliman sinonim dengan pemerintahannya.  Bagaimana kita menanggapi isu panas ini, apakah respon kita kepada isu yang terkait negeri kaum muslimin ini, apa sebenarnya yang berlaku?  Kenapa rakyat Mesir memberontak??

Sedikit Kronologi Peristiwa Mesir

17/1/2011:    Seorang lelaki membakar dirinya di luar bangunan Parlimen, yang pertama dari lima kejadian membakar diri di Mesir sepanjang Januari.  Kes membakar diri ini berlaku sebagai tanda protes atas pentadbiran Mesir yang sangat sinonim dengan kemiskinan, pengangguran, birokrasi, korupsi dan kezaliman.

25/1/2011:    Beribu-ribu rakyat ‘merusuh’ untuk menunjuk perasaan di seluruh Mesir sehingga menjadi agak ganas.

28/1/2011:    Pertempuran antara polis dan penunjuk perasaan menyebabkan 62 orang terbunuh.  Sebagai langkah berjaga-jaga Hosni Mubarak mengenakan perintah berkurung dari senja hingga pagi dan mengerahkan tentera membantu polis dalam menguatkuasakannya.

29/1/2011:    Petempuran di antara penunjuk perasaan dan pasukan keselamatan meragut 32 nyawa.  Kabinet meletak jawatan.  Hosni Mubarak buat pertama kalinya melantik naib presiden dan Perdana Menteri baru.

31/1/2011:    Kerajaan mengumumkan kabinet baru dengan kebanyakkan jawatan tidak berubah.

1/2/2011:    Ratusan ribu penunjuk perasaan sertai perarakan sejuta orang di Kaherah dan Iskandariah.  Hosni menolak tuntutan dan berkata, dia akan kekal sebagai presiden sehingga September.

2/2/2011:  
  Penyokong Hosni menyerbu Dataran Tahrir, mencetuskan pergaduhan, sumber kerajaan melaporkan 3 terbunuh.

3/2/2011:    8 terbunuh dalam pertempuran, ratusan tercedera.

4/2/2011:    Puluhan ribu penunjuk perasaan berkumpul di Dataran Tahrir untuk “hari pemergian” bagi memaksa Hosni Mubarak meletak jawatan.

8/2/2011:    Beratus-ratus ribu berarak di jalan raya di Kaherah.

10/2/2011:    Kemarahan meletus apabila Hosni mengulangi niat untuk terus berkuasa hingga September.

11/2/2011:    Hosni mengumumkan peletakan jawatannya.


Persoalan Untuk Renungan

Adakah dengan pengunduran Hosni Mubarak ini akan membawa sebuah perubahan sebagaimana dikehendaki oleh kebanyakan rakyatnya?  Akan berlakukah perubahan sekiranya hanya tampuk kepimpinan yang diubah, hakikatnya ia masih mengekalkan sistem yang Hosni Mubarak warisi dari Anwar Sadat??  Adakah perubahan yang diperjuangkan itu merupakan perubahan yang merevolusi keseluruhan sistem korup warisan Barat untuk Mesir kepada satu sistem yang bakal menjamin seluruh permasalahan manusiawi - Islam??.

Berbagai spekulasi muncul dalam menggambarkan siapa yang akan memerintah Mesir, yang pasti pengunduran Hosni Mubarak dengan menyerahkan kuasa kepada pihak tentera mengaburkan peluang kepada Ikhwanul Muslimin untuk berkuasa dengan mengimplementasikan Islam sebagai wadahnya.

Laporan media yang sedang hangat membuat beberapa analisis mengenai rentetan peristiwa yang berlaku di Mesir, telah membuat kesimpulan (spekulasi) berikut:

1)    Pelantikan Omar Suleiman yang mempunyai hubungan baik dengan Israel dan Amerika Syarikat (termasuk berperanan dalam extraordinary rendition) tidak menjanjikan apa-apa yang positif kepada rakyat Mesir melainkan hanya untuk kepentingan kuasa asing dan Hosni sendiri.  Pelantikan Omar sama sekali bukan apa yang dituntut dan perlu dilakukan.

2)    Mohamed el-Baradei semakin mempunyai potensi untuk muncul sebagai pemimpin baru Mesir, sebahagian besarnya kerana sokongan Barat dan popularitinya di Mesir pada masa ini dan digelar sebagai figur penyatu dalam politik Mesir.  Beliau juga merupakan tokoh yang paling banyak menerima liputan positif media asing.  Hal ini juga menunjukkan sisi politik domestik bukan satu-satunya naratif yang sepatutnya diterima dalam melihat perkembangan di Mesir dan Asia Barat pada masa ini.

3)    Ikhwan al-Muslimin mula menerima serangan mengaitkannya dengan unsur-unsur "militan" dan "teroris," dalam rangka wacana yang kritikal terhadap sebarang elemen Islam dalam politik.  Walaupun sejarah menunjukkan rekod yang tidak sepenuhnya baik bagi Ikhwan, kumpulan ini merupakan kuasa politik yang sah di Mesir.  Kritikan Ikhwan tidak terlibat dalam penentangan juga menyeleweng kerana kumpulan ini berdepan tekanan dan tangkapan pasukan keselamatan secara agresif, terbaru sejak 2009.

4)    AS telah bertindak dengan teliti dan penuh hati-hati dalam mengeluarkan kenyataan berhubung protes iaitu cuba mengimbangi sokongan kepada hak fundamental rakyat dengan desakan perubahan kepada rejim Hosni.  Kenyataan Setiausaha Negara AS, Hillary Clinton Jumaat lalu cuba mengimbangi dan menyediakan ruang manuver pada masa depan, apapun kesudahan kepada rejim Hosni.  Jelas bahawa Washington masih menyokong rejim sedia ada, tetapi tetap akan meneruskan hubungan baik dengan pemerintah selepas ini sekiranya rejim sekarang tumbang.

5)    Kepentingan AS dan Israel di Mesir terlalu besar dan tidak terhad kepada rejim Hosni.  Selepas Israel, Mesir ialah penerima bantuan ketenteraan terbesar dari AS.  Malah, kepentingannya mungkin akan lebih mampu dipelihara dan dicapai di bawah pemerintah baharu.  Kedudukan Mesir sebagai negara Arab pertama mengiktiraf Israel dan yang paling berkeupayaan berperang dengan Israel, terutama disebabkan faktor sempadan , menjadikan Mesir tidak boleh dilepaskan oleh Washington.  Palestin dan Gaza ialah satu isu yang menjadikan Mesir sangat diperlukan oleh Israel untuk bekerjasama dengannya, kerana hanya Mesir negara yang boleh menguatkuasakan kepungan ke atas Gaza selain Israel.

6)    Perubahan politik di Mesir bakal mencetuskan gelombang yang jauh lebih besar berbanding apa yang tercetus di Tunisia.  Walaupun tidak semestinya akan membawa kepada perubahan rejim lain, perkembangan di Mesir telah mengubah permainan di Asia Barat.  Sekiranya perubahan yang signifikan terlaksana di Mesir, termasuk dalam persekutuan dengan Jordan dan Arab Saudi, lanskap politik serantau akan berubah dengan dramatik. Perubahan dalam persekutuan Kaherah-Riyadh-Amman secara dramatik mampu menjejaskan pengaruh kuasa-kuasa terbesar dunia Arab itu. (Sumber: http://www.detikdaily.net/v5)

Reaksi Kita- Ummat Islam Malaysia
Setelah sedikit sebanyak mengamati apa yang berlaku di Mesir, baik melalui akhbar mahupun televisyen, seharusnya ada persoalan yang bermain di benak setiap dari kita.  Tinggal lagi bentuk soalan seperti apakah yang kita tanyakan kepada diri kita.  Secara logik akal kita akan menemukan berbagai reaksi umat Islam dalam menghadam pengkhabaran dari Mesir ini, dari segi analitikal mahupun kepada yang tipikal yang justru berpendapat, "Alhamdulillah, tak kena pada diri kita... tak terjadi di Malaysia..." ada juga yang bersimpati, dan menunjukkan reaksi kasihan.  Untuk itu tidak sedikit yang bertanya “…bagaimana agaknya nasib rakyat Malaysia di sana?”.  Perkara ini nyata dimanifestasikan dengan pengembelengan segala kudrat yang ada, di mana segala usaha dioptimakan untuk membawa anak Malaysia kembali dengan seberapa segera.  Ini bukan sama sekali persoalan tentang merodok tempat kerbau berkubang, malah ini adalah hakikat bahawa masing-masing jelas tidak bertindak sebagaimana seharusnya, malah secara sedar atau tidak masing-masing telah bertindak mengikut rentak tari dan keinginan musuh Islam (baca:  AS).  Seolah-olah mereka lupa Rasulullah Sallallahu Alaihi  wa Sallam pernah bersabda dalam sebuah hadis:

“Tidak sempurna iman seseorang diantara kamu sehingga kamu mengasihi saudara kamu sebagaimana kamu mengasihi diri kamu sendiri.”   [HR Muslim]

Siapa ‘saudara kamu’ yang Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi wa Sallam maksudkan dalam hadis tersebut?  Hal ini diketahui dengan jelas oleh setiap kaum muslimin yang membaca al-Qur’an dan mengaku beriman dengan kitab yang diturunkan di mana Allah Subhanahu wa Ta’ala melalui firmanNya menegaskan:

“Sesungguhnya setiap orang-orang yang beriman adalah bersaudara..”
[TMQ al Hujurat (49): 10]

Justru persoalannya sekarang apakah yang kita mampu lakukan? Setakat manakah kemampuan kita untuk bertindak?  Memahamkan situasi kita yang telah dipecahkan oleh kuffar Barat sejak kejatuhan Khilafah pada tahun 1924, sebagai penyatu umat Islam sedunia, pihak Barat mengamalkan dasar ‘pecah dan perintah’ untuk memastikan kita seolah-olah mustahil membantu saudara kita walau di mana sekalipun.  Dengan racun dari Barat ini kita disekat oleh sempadan geografi ciptaan mereka dan dianggap mengganggu urusan negara lain sekiranya kita cuba membantu saudara seIslam di negara lain selain dari negara kita.  Inilah kehebatan hegemoni kuffar Barat ke atas kita sehingga ramai di antara kita tidak sedar malah redha dengan apa yang berlaku kepada saudara seIslam di seluruh dunia.  Cukuplah sekadar mengikuti perkembangannya di akhbar atau di televisyen dan menghantarkan bantuan kemanusiaan sekiranya diperlukan.  Seolah-olah perkara itu telah menjadi rutin dan ditanamkan ke dalam benak setiap dari kita itu adalah yang maksima yang mampu kita lakukan.  Maha Suci Allah sesungguhnya itu bukanlah kemampuan maksima yang kita ada malah itu adalah yang paling minima dan tidak layak kita lakukan sekiranya kita benar-benar memahami firman Allah yang dinyatakan di atas dan hadis baginda Rasul tentang siapa saudara kita. 

Oleh yang demikian sebagai khaira ummah, setiap dari kita perlu sedar tentang perancangan musuh Allah ini.  Kita seolah-olah telah dibius sehingga menjadi kebas dan tidak peka dengan sistem sekular yang mengelilingi hidup kita baik dari segi perundangan, ekonomi,sosial,pemerintahan dan seluruh sistem hidup yang lain.  Justru kita berasa aman dan tenang hidup dalam sistem yang diwariskan penjajah kepada kita.  Dengan keselesaan fatamorgana ini, kita terus lupa pesanan Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam dan segala usaha dan thariqah yang ditunjukkan oleh Baginda.

Kaedah (thariqah) Kebangkitan Yang Ditunjukkan Oleh Rasulullah SAW
Kebangkitan pada dasarnya bukan semata-mata merebut pemerintahan, akan tetapi ia adalah satu usaha untuk menyedarkan sekaligus menyatukan umat untuk kembali kepada landasan fikrah Islam yang sebenar, lalu mengarahkan orientasi hidup umat sesuai dengan fikrah tersebut.  Setelah itu barulah pemerintahan tersebut diambil alih dan dibangun dengan landasan fikrah yang benar.  Dengan demikian, meraih pemerintahan bukanlah tujuan, namun ia adalah merupakan thariqah (kaedah) menuju kebangkitan dengan cara membangunkan pemerintahan tersebut dengan landasan fikrah yang ditunjangi oleh wahyu Illahi.  Contoh yang paling tepat adalah sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh junjungan mulia kita Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi wa Sallam ketika baginda diutus oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala dengan membawa risalah Islam, baginda mengajak orang-orang Quraish Mekah agar beraqidah dengan aqidah Islam, ini adalah seruan kepada kebangkitan pemikiran.  Sebagaimana yang telah kita ketahui seruan itu ditolak mentah-mentah oleh golongan yang berpengaruh pada masa itu malahan baginda dimusuhi dan disakiti.  Nah, ketika baginda berjaya mempersatukan pemikiran masyarakat Madinah iaitu Aus dan Khazraj dengan sebuah aqidah atau pemikiran Islam, baginda berjaya mencetuskan sebuah revolusi yang mereformasikan pemikiran dan berjaya menjadikan Islam sebagai satu sistem yang digunapakai dan hidup mereka hanya untuk Islam.  Kekuasaan Madinah diserahkan sepenuhnya kepada baginda Rasul, yang seterusnya baginda membangunnya sesuai dengan apa yang telah diwahyukan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala.  Sebagaimana sabda Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi wa Sallam yang bermaksud:

“Aku diperintahkan untuk memerangi seluruh manusia sehingga mereka menyatakan LAILAHAILLALLAH MUHAMMAD RASULULLAH. Bila mereka menyatakannya maka terpeliharalah darah dan harta mereka daripada kami, selain kerana (diambil) sesuai dengan haknya.”  [HR Bukhari dan Muslim]

Maka telah sangat jelas bagaimana 1400 tahun yang lalu Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam telah mempelopori terjadinya sebuah revolusi mega yang sekaligus merubah dunia.  Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi wa Sallam bukan sahaja sekadar menyeru kepada kebangkitan pemikiran Islam malah Deen Allah digunapakai dan direalisasikan secara yang disyariatkan dalam kehidupan manusia sejagat.  Baginda Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi wa Sallam menunjukkan contoh kepada umatnya bahawa adalah wajib menyerukan kepada fikrah Islam secara menyeluruh, mengadoptasikan dan melayani keperluan umat.  Baginda tetap teguh dengan apa yang Allah Subhanahu wa Ta’ala wahyukan kepadanya.  Sebagaimana yang dinyatakan oleh Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi wa sallam dalam sabdanya yang mulia sekaligus memberi cetusan motivasi untuk terus memperjuangkan sebuah reformasi hakiki, sebagaimana maksudnya:

 “Akan ada kenabian selama Allah menghendakinya untuk menjadi, maka Dia akan menghapuskan ketika Dia kehendaki, maka akan ada Khilafah pada kaedah Nabi dan akan selama yang dikehendaki Allah, maka Dia akan menghapuskan ketika dia kehendaki, maka akan ada kerajaan menggigit selama yang Allah kehendaki, maka Dia akan menghapuskan ketika Dia kehendaki, maka akan ada kerajaan yang menindas selama Allah menghendakinya, maka ia akan memadam ketika Dia kehendaki, dan kemudian akan ada Khilafah pada kaedah Nabi ",dan kemudian baginda diam.   [HR Ahmad]

Oleh itu perubahan yang diinginkan oleh umat secara keseluruhannya adalah perubahan secara total, sekaligus merupakan penyelesaian tuntas kepada setiap permasalahan umat Islam masa kini baik di Mesir, Tunisia mahupun di mana saja belahan dunia yang umat Islam masih tertindas, dibelenggu secara fizikal dan mental, iaitu dengan menggerakkan sebuah seruan kepada perubahan yang mendasar dan menyeluruh dengan asas tertegakknya Islam secara Kaffah.  Tiada jalan lain melainkan hanya dengan mengembalikan sebuah sistem yang diwariskan oleh Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi wa Sallam iaitu Khilafah ‘ala minhaj nubuwwah.

Khatimah
Jelas kepada kita sebenarnya, dengan memberi perhatian terhadap isu pergolakan dan kebangkitan yang berlaku di Mesir, Tunisia dan di seluruh negeri umat Islam, yang diperlukan bukan sekadar reformasi sebaliknya sesuatu yang lebih dari itu.  Umat Islam secara keseluruhannya mesti tegar menjadikan Islam sebagai sebuah Revolusi yang menyeluruh.  Revolusi yang memastikan Islam bukan hanya pemikiran yang bersifat utopia tetapi ianya adalah sesuatu yang bersifat realistik.  Islam dijadikan foundation (asas) kepada segala penyelesaian masalah kehidupan manusia.  Hanya inilah penawar sebenar dalam melayani segala kehendak dan kemahuan manusiawi.  Insyaallah dengan janji dari Allah kita akan mendapatkan erti sebenar sebuah kebangkitan pemikiran yang menjamin kesejahteraan hakiki.  Yakinlah dengan pasti, Islam akan kembali memegang tampuk kepimpinan dunia suatu hari nanti.  Wallahu’alam.
 

HAKIKAT KECANTIKAN:  ANTARA MITOS DAN REALITI
Apabila kita membahaskan tentang kecantikan, isu ini cukup sinonim dengan wanita.  Kini hampir setiap wanita sangat taksub dengan kecantikan.  Wanita yang cantik sering digambarkan sebagai wanita yang mempunyai susuk tubuh yang sangat sempurna dan ideal iaitu bentuk tubuh yang menawan, pinggang yang ramping, mempunyai ketinggian seperti seorang model, kulit putih gebu dan halus mulus.  Ciri-ciri inilah yang sering diimpikan oleh kebanyakan wanita baik di Barat mahupun pun di negara-negara majoriti umat Islam. 

Ditambah pula dengan persekitaran yang sentiasa dikelilingi oleh faktor-faktor yang boleh memangkinkan wanita kepada kecantikan yang sangat didambakan.  Jika diteliti secara mendalam, pandangan dan gambaran yang mendominasi masyarakat dunia tentang wanita cantik sebenarnya bersumber daripada masyarakat kapitalis Barat.  Wanita-wanita Barat telah diperdaya dan telah terpedaya dengan konsep-konsep kecantikan, citra dan penampilan.  Maka tidak hairanlah jika wanita sering mengaitkan kecantikan dengan kejayaan, keyakinan diri, penghargaan dan penghormatan daripada masyarakat serta lain-lain perkara seumpamanya.

Simone de Beauvoir dalam “The Second Sex” pernah mendeskripsikan mitos kecantikan.  Beliau menyatakan “masa paling sukar bagi wanita adalah ketika menjalani proses transisi (perubahan) dari seorang gadis menjadi wanita dewasa”.  Menurut beliau lagi, “transisi (perubahan) menjadi dewasa diiringi tuntutan agar wanita mempunyai sikap feminin yang bererti ”penurut, mudah dikendalikan, dan tidak produktif”.  Dalam konteks ini, perempuan dibentuk bukan oleh dirinya sendiri, melainkan oleh imej daripada luar yang selari dengan definisi wanita yang “ideal”.  Di sini jelas dinyatakan bahawa definisi “cantik” secara terus-menerus telah menempatkan wanita sebagai objek yang tidak otonomi terhadap tubuhnya sendiri kerana imej ideal tentang tubuh ditentukan oleh kekuatan luar, iaitu iklan, filem, drama televisyen dan medium sejenisnya.  Lebih menyedihkan apabila terdapat individu yang mengkomersialkan bidang kecantikan yang kononnya berkonsepkan Islam tetapi hakikatnya jelas menyimpang daripada Islam yang sebenarnya. 

Pengasas Akademi Siti Salon, Siti Hajar Jamil, 46, berkata, bidang kecantikan mempunyai potensi besar untuk berkembang dan memberikan pendapatan lumayan kepada mereka yang serius mengusahakannya.  "Bidang ini masih kurang disertai oleh orang Melayu.  Siti Salon berkonsepkan Islam di mana semua perkhidmatan dan latihan menekankan pendekatan nilai-nilai murni mengikut syariat Islam. Sebagai contoh, dalam modul mekap pengantin, agama Islam melarang untuk mencabut bulu kening dan di Siti Salon modul tersebut akan diajar dengan menggunakan kaedah tertentu tanpa perlu mencabut bulu kening tetapi masih akan kelihatan cantik dan menawan," katanya. [http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0120&pub=Utusan_Malaysia&sec=Utara&pg=wu_01.htm].  Begitulah pemahaman kaum wanita di seluruh dunia termasuklah muslimah sendiri yang telah terpukau dengan cerita dongeng si penglipur lara kapitalis.  Justeru, Fikratul Ummah kali ini akan membincangkan lebih lanjut lagi berkenaan persoalan ini dan seterusnya memberi pencerahan yang benar dari perspektif Islam.

Kecantikan: Helah Si Kapitalis
Kecantikan adalah industri.  Ungkapan ini mengandungi makna yang sangat mendalam dan ia adalah suatu kebenaran.  Barat, si pemuja sistem kapitalis sentiasa memikirkan manfaat yang dapat dikaut secara maksima dalam apa jua kegiatan yang mereka lakukan.  Logiknya kerana keuntungan dan kemewahan itu adalah hakikat kebahagiaan pada tafsiran mereka.  Barat akan mencipta apa-apa sahaja yang boleh membawa keuntungan walaupun dengan memperolehinya melalui kesengsaraan orang lain.  Itulah hakikatnya, Barat mengatakan kecantikan sebagai sesuatu yang harus diraih oleh setiap wanita.  Negara-negara Barat merupakan pengeluar produk-produk kosmetik dan pelbagai instrumen kecantikan yang pastinya memerlukan pasaran yang besar untuk menjamin pulangan yang berlipat ganda.  Maka, di situlah Barat sentiasa mencari-cari helah dengan menyuntik keinginan wanita untuk kelihatan sentiasa cantik dan menawan seterusnya merealisasikan agar para wanita  memilih dan menggunakan produk-produk kecantikan Barat di pasaran.  Data iklan televisyen pada November 2003 menunjukkan bahwa produk seperti syampu, sabun, pelembut pakaian dan pemutih wajah termasuk dalam 20 pengiklan terbesar. [http://najmahnadiyah.wordpress.com/2008/09/17/cantik-antara-mitos-dan-realita/] Wanita yang tidak cantik dan tidak berusaha untuk kelihatan cantik adalah wanita yang tidak sempurna dan tidak mempunyai jati diri.  Manakala wanita yang kelihatan cantik dan sentiasa berusaha untuk kelihatan cantik adalah wanita yang hebat dan dipandang tinggi oleh masyarakat sekeliling terutamanya kaum lelaki.

Kecantikan Yang Membawa Kesengsaraan
Barat bukan sahaja telah menciptakan mitos kecantikan kepada kaum muslimah tetapi juga kepada wanita Barat sendiri.  Barat telah memberikan harapan-harapan yang tidak wajar sehingga para wanita tanpa berfikir panjang lantas mematuhi tipu daya Barat yang jelas merupakan suatu pembohongan.  Oleh itu, wanita Barat sanggup melakukan apa sahaja untuk memastikan mereka kelihatan cantik di hadapan para pengadil iaitu kaum lelaki yang memandang wanita kerana kecantikannya sama ada daripada aspek wajahnya, tubuh badan yang menarik atau penampilannya.  Kaum wanita rela menahan lapar sehingga ramai yang menghidap penyakit Anorexia Nervosa, sanggup pula mengeluarkan wang yang banyak hanya untuk mengunjungi pusat-pusat kecantikan, membeli barangan kosmetik dan juga pakaian, malah lebih jauh lagi mereka juga sanggup melakukan pembedahan plastik untuk mengubah wajah mahupun anggota badan yang dirasakan tidak cantik dan menarik.  Ismail Adam Petel dalam bukunya “Perempuan, Feminisme dan Islam” menulis bahawa “para kapitalis yang bergerak dalam industri kecantikan telah memanipulasi wanita untuk membelanjakan lebih dari 33 juta dollar setiap tahun untuk produk-produk diet, 20 juta dollar untuk alat-alat kosmetik dan 300 juta dollar untuk pembedahan plastik”.  Naomi Wolf dalam bukunya yang berjudul “The Beauty Myth: How Images of Beauty Are Used Against Women” menyatakan bahawa “Sifat-sifat yang dianggap sebagai ukuran kecantikan pada suatu zaman tertentu sesungguhnya hanya merupakan simbol-simbol perilaku perempuan yang diinginkan pada masa itu.  Mitos kecantikan (yang dijadikan ukuran oleh masyarakat) sebenarnya menentukan perilaku (yang diinginkan masyarakat dari seorang perempuan), bukan sekadar penampilannya.”

Kecantikan Dari Perspektif Islam
Sesungguhnya konsep kecantikan yang difahami oleh Barat hari ini amat berbeza dengan Islam.  Jelas Barat menjadikan akal dan nafsu manusia semata-mata sebagai tolok ukur dalam menjalani kehidupannya, sedangkan Islam,menitikberatkan ketika umat menjalani kehidupan mesti sesuai dengan hukum-hukum Allah Subhanahu wa Ta’ala yang berlandaskan aqidah Islamiyyah.  Ini kerana Allah Subhanahu wa Ta’ala adalah Pencipta Yang Maha Tahu tentang manusia secara keseluruhan sama ada keperluan jasmani mahupun nalurinya dan pastinya Allah Subhanahu wa Ta’ala juga sangat arif dalam mengatur bagaimana cara terbaik untuk manusia menjalani kehidupan dengan sempurna.

Barat mempunyai pandangan bahawa idea kebebasan yang menjadi asas dalam sekularisme sebagai pegangan mereka yang membolehkan mereka melakukan apa sahaja semahunya.  Oleh kerana itu, lelaki dan wanita Barat bebas bergaul antara satu sama lain, mereka juga bebas menentukan cara berpakaian dan berpenampilan selagi boleh diterima oleh masyarakat dan dipandang sesuai dengan peredaran zaman moden.  Masyarakat Barat hanya mementingkan keseronokan dan kepuasan diri dalam melakukan sesuatu perbuatan kerana nafsu manusia telah mengendalikan akal manakala akal akan bertindak mengikut hasutan nafsu.  Sesungguhnya apa yang ada dalam benak masyarakat sangat jauh berbeza dibandingkan dengan apa yang ada dalam ruang lingkup Islam.  Lelaki dan wanita Muslim sentiasa menjalani kehidupan mereka berdasarkan keyakinan bahawa mereka akan dipertanggungjawabkan atas semua perbuatan yang telah mereka lakukan di dunia.  Maka, kaum Muslim wajib menjalani kehidupan berlandaskan aturan-aturan dan garis panduan yang telah ditetapkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala agar perbuatan mereka tidak tergelincir dari landasan tersebut.  Oleh kerana itu, kaum Muslim tidak sepatutnya mengutamakan justifikasi akal dalam mengatur setiap perbuatan dalam kehidupan termasuklah dalam hal mendefinisikan kecantikan serta cara-cara berketerampilan.  Sebaliknya, kaum Muslim menjadikan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai tolok ukur dalam menghadapi segala permasalahan kehidupan.  Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman: “Dan tidaklah patut bagi lelaki Mukmin dan tidak patut (pula) bagi perempuan Mukmin, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka.  Dan barangsiapa mendurhakai Allah dan Rasul-Nya maka sungguhlah dia telah sesat, sesat yang nyata.” [TMQ al-Ahzab (33): 36]

Sesungguhnya dalam Islam tidak pernah ditemukan tentang ciri-ciri wanita cantik yang harus dimiliki oleh wanita muslimah.  Ini kerana, Islam sama sekali tidak pernah menentukan dan menggariskan bagaimana seseorang wanita harus berpenampilan agar terserlah kecantikannya.  Justeru, dalam Islam tidak wujud harapan yang tidak wajar yang mesti diraih oleh wanita atau yang diharapkan oleh kaum lelaki.  Namun, Islam telah menentukan aturan bagaimana wanita seharusnya berpenampilan dalam lapangan kehidupannya dan kepada siapa seseorang wanita dibolehkan untuk mempamerkan kecantikannya.

Seorang wanita wajib berpenampilan sesuai dengan syariat Islam iaitu menutup seluruh bahagian tubuhnya kecuali wajah dan kedua-dua telapak tangannya di hadapan lelaki bukan mahramnya.  Seterusnya pakaian yang tersarung di tubuhnya itu mestilah tidak terlalu nipis sehingga menampakkan warna kulitnya dan juga tidak terlalu ketat sehingga menampakkan bentuk tubuhnya.  Ini bermaksud bahawa setiap bahagian tubuh wanita seperti rambut (walaupun hanya sehelai sahaja), leher dan kakinya merupakan aurat kecuali wajah dan kedua-dua telapak tangannya yang tidak dibenarkan untuk dipamerkan di hadapan lelaki bukan mahramnya.  Sebarang pengecualian terhadap ketetapan Allah Subhanahu wa Ta’ala ini mestilah datangnya daripada nash-nash Al-Quran dan Sunnah Rasul-Nya dan bukannya daripada justifikasi akal manusia.  Seseorang wanita juga tidak boleh memakai pakaian, perhiasan dan menggunakan dandanan/solekan yang akan menarik perhatian lelaki dengan kecantikannya (tabarruj). 

Sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta’ala: “Dan jangan lah kamu berhias dan bertingkah laku seperti orang-orang jahiliyah yang dahulu.” [TMQ al-Ahzab (33):33]

Apabila seseorang wanita keluar ke tempat umum, maka terdapat aturan yang khas terhadap cara penampilannya iaitu dia mestilah mengenakan khimar iaitu penutup kepala yang menutupi seluruh bahagian kepala, leher dan bahu sehingga ke dadanya serta jilbab iaitu kain panjang yang menutupi pakaian sehariannya dan dihulurkan sampai ke bahagian kaki.  Maka, apabila seseorang wanita keluar dari rumah ke tempat umum tanpa mengenakan pakaian yang telah ditetapkan ini, maka dia telah memperoleh dosa kerana melanggar dan mengabaikan perintah Allah Subhanahu wa Ta’ala.  Perintah Allah Subhanahu wa Ta’ala berhubung khimar telah jelas dalam dalil berikut: “Dan hendak lah mereka menutupkan kain kerudung ke dadanya.” [TMQ an-Nur (24): 31]

Sementara itu, perintah Allah Subhanahu wa Ta’ala berhubung jilbab adalah seperti berikut: “Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin: “Hendak lah mereka mengulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka.” [TMQ al-Ahzab (33): 59] 

Oleh yang demikian, sebenarnya kecantikan (kebaikan) bagi seseorang muslimah adalah apabila dia taat mengikuti hukum dan aturan yang telah ditentukan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala.  Manakala keburukan apabila seseorang muslimah mencampakkan dan melanggar hukum dan aturan Allah Subhanahu wa Ta’ala lalu mengikuti ketetapan-ketetapan yang ditetapkan oleh manusia.  Sesungguhnya telah terbukti bahawa ketetapan dan aturan berpenampilan dalam Islam jelas berada dalam batas-batas kemampuan setiap perempuan dan pastinya tidak akan menimbulkan pelbagai ragam permasalahan kesan daripada harapan yang tidak wajar yang harus dipenuhi oleh kaum wanita.  Setiap wanita yang ingin menampilkan kecantikan mereka mestilah sesuai dengan tuntutan syara’ seperti menghias dan mempercantikkan diri untuk tatapan suaminya yang sudah pasti di situ ada ganjaran pahala baginya.  Oleh yang demikian, setiap perbuatan itu sama ada yang disukai atau dibenci mestilah sentiasa sesuai dengan perintah dan larangan Allah Subhanahu wa Ta’ala bukan mengikut acuan masyarakat Barat.

Wanita Di Hadapan Syariat Islam
Wanita muslimah tidak seharusnya menilai keperibadian dan kesempurnaan dengan pemikiran yang sangat dangkal iaitu hanya dengan kecantikan semata-mata.  Oleh yang demikian, wanita muslimah tidak perlu merasakan diri serba kekurangan dan juga merasa rendah diri dek kerana ketiadaan ciri-ciri wanita cantik dalam diri mereka.  Ketahuilah wahai muslimah, sesungguhnya mitos kecantikan hanyalah ciptaan Barat yang bersumber daripada akal dan nafsu semata-mata.  Barat berbuat begitu kerana matlamatnya untuk memalingkan hati umat Islam dari mentaati Allah Subhanahu wa Ta’ala dan menjauhi umat Islam daripada pemikiran yang sangat penting, iaitu memahami dengan jelas tujuan hidup yang hakiki dan juga bagaimana umat Islam seharusnya mengatur urusan kehidupannya selari dengan tuntutan syara’. 

Allah Subhanahu wa Ta’ala telah memperingatkan kita dalam firman-Nya: “Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu ambil menjadi teman kepercayaanmu orang-orang yang di luar kalanganmu [kerana] mereka tidak henti-hentinya [menimbulkan] kemudharatan bagimu.  Mereka menyukai apa yang menyusahkan kamu.  Telah nyata kebencian dari mulut mereka, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka lebih besar lagi.  Sungguh telah Kami terangkan kepadamu ayat-ayat [Kami], jika kamu memahaminya.” [TMQ ali-Imran (3): 118]

Allah Subhanahu wa Ta’ala juga berfirman: “Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan.  Barangsiapa yang mengikuti langkah-langkah syaitan, maka sesungguhnya syaitan itu menyuruh mengerjakan perbuatan yang keji dan yang mungkar.  Sekiranya tidaklah kerana kurnia Allah dan rahmat-Nya kepada kamu sekalian, niscaya tidak seorangpun dari kamu bersih [dari perbuatan-perbuatan keji dan mungkar itu] selama-lamanya, tetapi Allah membersihkan siapa yang dikehendaki-Nya.  Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” [TMQ an-Nur (24): 21]

Sesungguhnya keperibadian wanita muslimah bukan dipandang pada kecantikannya tetapi pemikiran dan tingkah lakunya.  Kaum muslimah seharusnya berfikir dan berperilaku sesuai dengan hukum syara’ dan bukannya sesuai dengan kemahuan Barat yang jelas-jelas mempunyai keinginan untuk menghancurkan umat Islam.  Kaum muslimah juga mestilah menilai diri dengan ukuran sejauh mana ketaatannya sebagai hamba kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala serta kualiti dan kuantiti amal perbuatannya dalam melaksanakan perintah-Nya,dan menjauhi larangan-Nya semata-mata untuk meraih keredhaan-Nya. 

Oleh sebab itu,  muslimah mestilah menjadikan ketaqwaan kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala sebagai ukuran dalam menilai keperibadian seseorang kerana dengan ketaqwaanlah Allah Subhanahu wa Ta’ala akan menilai manusia dan dengan ukuran ketaqwaan jugalah Allah Subhanahu wa Ta’ala akan meninggikan darjat manusia dibanding manusia lain.  Sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta’ala: “Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling taqwa di antara kamu.” [TMQ al-Hujurat (49): 13]   

Khatimah
Wahai muslimah, kembalilah kepada Islam yang syumul dan jadilah wanita yang berfikir, kerana orang yang berfikir sahaja yang dapat membezakan sama ada apa yang dihidangkan dalam hidupnya adalah racun yang dipaksakan oleh Barat, atau aturan dan hukum Allah Subhanahu wa Ta’ala yang sempurna yang seharusnya mereka pilih untuk menjadi panduan hidup yang pastinya tidak akan pernah menyakiti atau membuatkan seseorang itu sengsara. 

Fokus dan perhatian yang utama dalam hidupnya adalah bagaimana menjadi hamba yang taat kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala dan mengumpulkan sebanyak pahala sebagai bekalan ketika menghadap Allah Subhanahu wa Ta’ala kelak.  Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman: “Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa itu berada dalam syurga [taman-taman] dan [di dekat] mata air-mata air [yang mengalir].  [Dikatakan kepada mereka]: "Masuklah ke dalamnya dengan sejahtera lagi aman.  Dan Kami lenyapkan segala rasa dendam yang berada dalam hati mereka, sedang mereka merasa bersaudara duduk berhadap-hadapan di atas dipan-dipan.  Mereka tidak merasa lelah di dalamnya dan mereka sekali-kali tidak akan dikeluarkan daripadanya. [TMQ al-Hijr (15) :45-48] 

Sesungguhnya, kita seharusnya berusaha semaksima yang mungkin untuk meraih keredhaan Allah Subhanahu wa Ta’ala sementara mempunyai kesempatan yang ada dan bukannya berusaha mendapatkan keredhaan manusia sehingga sanggup meninggalkan dan mencampakkan hukum Allah Subhanahu wa Ta’ala . Wallahu a’lam.

KEDUDUKAN WANITA DAN LELAKI DI HADAPAN SYARI’AH

Pengenalan
Islam adalah ideologi yang lengkap.  Ini kerana sejak kehadirannya lebih 1400 tahun yang lalu segala permasalahan hidup yang dihadapi oleh manusia baik lelaki mahupun wanita telah tersedia jawapannya dalam Deen yang Haq ini.  Pendek kata, Islam hadir untuk membawa taklif syariah dan menyediakan pemecahan kepada segala persoalan hidup manusia.  Penetapan syariah adalah selaras dengan karakter kemanusiaan iaitu yang paling utama adalah karakter (jantina) yang berbeza.  Tersedianya hukum yang khusus untuk lelaki dan sebahagian lainnya khusus untuk wanita tidaklah bermaksud untuk saling mendiskriminasikan antara satu dengan yang lainnya sebagaimana yang dituduh oleh para pejuang gender dan feminisma yang sering membesarkan isu kesetaraan gender atau gender equality ini.  Apa yang pasti isu ini tidak pernah dipertikaikan apatah lagi dipermasalahkan dalam Islam.

Munculnya konsep kesetaraan gender iaitu satu usaha untuk menyamaratakan lelaki dan wanita dalam pelbagai aspek adalah hasil dari andaian dan tanggapan yang buruk mengenai keadaan wanita.  Kononnya keadaan buruk yang dihadapi oleh wanita-wanita kini seperti dikongkong, ditindas, didiskriminasi, dibelenggu kemiskinan dan sebagainya merupakan penghalang yang menghambatnya untuk maju dan berjaya dalam hidup.  Halangan tersebut termasuk juga apabila seorang wanita itu terpaksa menjadi ibu, hamil, menyusukan, mendidik dan mengurus rumahtangga.  Akhirnya kaum wanita yang lemah pemikiran Islamnya akan mudah terpancing dan terbawa dengan isu kesetaraan gender dan akhirnya mereka diprovokasi agar bangkit menempatkan diri untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan lelaki yang tidak memiliki beban atau halangan seumpama mereka.

Racun Yang Melemahkan Pemikiran Umat Islam
Di sinilah pihak Barat menyucuk jarum dengan membius pemikiran umat Islam khususnya wanita untuk menerima pakai konsep kesetaraan gender ini.  Dengan dalih prihatin akan nasib yang dialami wanita, idea ini telah menyebabkan semakin ramai muslimah di luar sana yang mempersoalkan kewajaran syariat Islam dalam mengatur hukum antara lelaki dan wanita.  Lebih menyedihkan apabila syariat Islam Allah Subhanahu wa Taala yang diyakini mampu memberikan kebahagiaan yang hakiki justeru kini dipandang sangat tidak adil terhadap wanita.  Antara perkara yang sering menjadi sasaran pejuang gender adalah masalah perwalian, persaksian, pakaian, waris, kepemimpinan dan nafkah.  Pemikiran berbahaya ini sedikit demi sedikit berjaya mempengaruhi muslimah sehingga mereka lupa pada jati diri sebagai muslimah dan mula menerima pakai dan lebih menyedihkan seakan bangga memperjuangkannya.

Pelbagai kempen di peringkat antarabangsa giat dilancarkan sedari dulu lagi dalam usaha menanamkan nilai-nilai gender ini secara tersusun.  Bermula dengan Konvensyen pertama PBB berkaitan wanita yang menekankan integrasi wanita dalam berbagai aspek pembangunan dengan memfokuskan produktiviti tenaga wanita atau dikenali sebagai WID (Women In Development).  Program ini kemudian diubah menjadi WAD (Women and Development), karena dianggap lebih memposisikan wanita sebagai subjek pembangunan.  Tahun 1979 Konvensyen CEDAW (Convention on the Elimination of all Form of Discrimination Against Women) pula telah diadakan yang membawa maksud Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi terhadap Wanita.  Ini diteruskan lagi dengan Konvesyen PBB II (1980) di Copenhagen dan Konvensyen III (1985) di Nairobi sebagai wadah memantapkan lagi WAD.  Kemudian pada tahun 1990, sewaktu Konvensyen di Vienna diadakan program GAD (Gender and Development).  Konvensyen Antarabangsa Pembangunan Populasi (International Conference Population and Development-ICPD) September 1994 di Kaherah, merupakan batu loncatan penting untuk mencetuskan bahwa ‘wanita’ adalah kunci bagi penyelesaian masalah lebihan penduduk.  Kemudian terhasil pula program bertema “Empowerment of Women” (Pemerkasaan wanita).  Dengan alasan bahwa wanita adalah modal insan yang berpotensi untuk menghapus kemiskinan, meningkatkan kualiti keluarga dan mengawal jumlah penduduk, maka perempuan perlu mendapat peluang beraktiviti  secara meluas dalam pelbagai bidang.

Program ini dilanjutkan dengan Konferens Wanita Sedunia IV (Fourth World Conference on Women) di Beijing, China pada September 1995, yang menghasilkan BPFA (Beijing Platform for Action).  Sebagai lanjutannya disusun pula program yang lebih besar lagi.  Pada tahun 1997 Committee PBB tentang status wanita telah menetapkan isu “Wanita dalam Kekuasaan dan Penentu Polisi”.  Tahun 2000 lahirlah kesepakatan global oleh 189 negara anggota PBB yang dikenali dengan Matlamat Pembangunan Millenium (Millenium Development Goals/MDG) yang menekankan kepentingan perjuangan HAM bagi semua orang, termasuk perjuangan wanita menuju kesetaraan gender serta penghapusan segala bentuk diskriminasi dan kekerasan terhadap wanita.  Berikutnya, berbagai konvensyen dan hasil kesepakatan ini kemudian dipaksa untuk diterimapakai dan diterapkan oleh seluruh negara-negara di dunia melalui tekanan politik, syarat bantuan dan lain-lain.

Malaysia turut tidak ketinggalan dalam memberi ruang untuk isu kesetaraan gender ini diketengahkan.  Global Meeting For Woman EqualityMusawah pada 13–17 Februari 2009 telah diadakan di Kuala Lumpur, yang diselenggarakan oleh Sisters in Islam Malaysia (pejuang isu gender di Malaysia).  Pertemuan ini dijayakan bersama oleh wakil-wakil dari 30 negara.  Salah seorang pesertanya adalah Komala Chandra Kirana dari Indonesia.  Musawah ini diselenggara sebagai gerakan global untuk kesetaraan dan keadilan dalam keluarga muslim.  Dalam kertas kerjanya, Musawah menyerukan reformasi Undang-undang Keluarga Islam yang dianggap telah mendiskriminasikan wanita.

Ini sangat bertolak belakang dengan Islam.  Islam tidak menerima pakai konsep kesetaraan gender ini kerana Islam telah menetapkan hukum berdasarkan landasan yang kukuh yang diciptakan oleh Pencipta lelaki dan wanita.  Dengan erti kata lain syariat Islam telah dapat menjamin keutuhan dan ketenangan hidup serta memberikan kebahagiaan hakiki kepada kaum wanita dan lelaki sesuai dengan kemuliaan manusia yang telah dimuliakan oleh Allah Subhanahu Wa Taala sebagaimana firmanNya: “Dan sesungguhnya telah Kami memuliakan anak-anak Adam”   [TMQ al-Isra’ (17):70].

Pengaturan Syariat Islam Yang Syumul

Allah Subhanahu Wa Taala telah mensyariatkan seluruh hukum yang berkaitan manusia dengan keadaannya sebagai manusia (lelaki dan wanita) tanpa ada perbezaan.  Pelbagai taklif, hak dan kewajipan itu dilihat dari sisi ini adalah sama.  Banyak dalil-dalil yang menyatakan taklif yang diperintahkan oleh Allah Subhanahu Wa Taala itu ditujukan secara umum dan bersifat komprehensif kepada lelaki mahupun wanita.  Antaranya Allah Subhanahu Wa Taala berfirman: “Sesungguhnya lelaki dan perempuan muslim, lelaki dan perempuan mukmin, lelaki dan perempuan yang tetap dalam ketaatannya, lelaki dan perempuan yang benar, lelaki dan perempuan yang sabar, lelaki dan perempuan yang khusyu’, lelaki dan perempuan yang bersedekah, lelaki dan perempuan yang berpuasa, lelaki dan perempuan yang memelihara kehormatannya, lelaki dan perempuan yang banyak menyebut (nama) Allah, Allah telah menyediakan untuk mereka ampunan dan pahala yang besar”[TMQ al-Ahzab (33):35].

“Barangsiapa yang mengerjakan amal soleh, baik lelaki mahupun wanita sedang ia orang yang beriman, maka mereka itu masuk ke dalam syurga dan mereka tidak dianiaya walau sedikitpun.”
[TMQ an-Nisa’ (4):124]

“Dan tidaklah patut bagi lelaki beriman dan tidak (pula) bagi perempuan beriman, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka.”   [TMQ al-Ahzab (33):36]

Berdasarkan beberapa ayat di atas, jelas bahawa seluruh hukum syara’ yang telah disyariatkan oleh Allah Subhanahu Wa Taala sesungguhnya adalah sama bagi lelaki dan wanita tanpa ada perbezaan atas kapasiti kedua-duanya di mana keduanya adalah hamba Allah Subhanahu Wa Taala yang bernama manusia.  Hukum-hukum tersebut merupakan seruan Allah Subhanahu Wa Taala yang terkait dengan amal-perbuatan manusia.

Sebagai hambaNya, kita perlu memaklumi bahawasanya Allah Subhanahu Wa Taala Maha Mengetahui segala kekurangan dan kelemahan manusia.  Dalam hal ini, pelbagai hak, kewajipan dan taklif syariah ada kalanya terkait dengan karakter kemanusiaan dengan jenis (kelamin) tertentu, bukan bagi seluruh manusia secara umum.  Misalnya dalam hal kesaksian, Islam menetapkan bahawa kesaksian dua orang wanita sebanding kesaksian seorang lelaki dalam aktiviti-aktiviti yang terjadi dalam kalangan lelaki atau yang terjadi di tengah kehidupan umum, seperti kesaksian atas masalah hak dan muamalah.  Firman Allah Subhanahu Wa Taala: “Dan persaksikanlah dengan dua orang saksi dari orang-orang lelaki di antaramu. Jika tidak ada dua orang lelaki, maka (boleh) seorang lelaki dan dua orang perempuan dari saksi-saksi yang kamu redhai, supaya jika seorang lupa, maka seorang lagi mengingatkannya” [TMQ al-Baqarah (2):282].

Untuk perkara-perkara yang berlaku dalam kalangan wanita sahaja (tanpa kehadiran lelaki) seperti perkara jenayah yang terjadi di tandas misalnya, kesaksian seorang wanita sahaja sudah mencukupi.  Kesaksian seorang wanita juga diterima dalam masalah yang melibatkan samada seseorang itu masih perawan (dara) atau tidak atau dalam masalah persusuan.  Ini telah dinyatakan dari hadis riwayat Imam al-Bukhari dari ‘Uqbah bin al-Harits, ia berkata: “Aku menikahi seorang wanita, lalu datang seorang wanita dan berkata bahawa dia telah menyusukan kami berdua. Maka aku mendatangi Nabi dan bertanyakan hal ini”. Lalu Baginda bersabda: “Bagaimana lagi kerana sudah dikatakan? Tinggalkan dia!”. Dalam hal ini wanita yang telah menyusukan Uqbah dan isterinya itu telah diterima kesaksiannya meskipun dia menghadirkan dirinya sendiri sebagai saksi.

Di Mana Asas Perjuangan Feminisme?
Pejuang isu gender dan feminisma tidak henti-hentinya menyerang syariat Islam.  Tidak terkecuali dalam hal ini adalah hukum berkenaan harta warisan.  Sejak dari awal Islam dituduh tidak adil dalam pengaturan harta warisan apabila menetapkan bahagian wanita adalah separuh dari bahagian lelaki.  Sebagai Muslimah, adalah penting untuk kita mengkaji secara benar akan hal ini.  Firman Allah Subhanahu Wa Taala: “Allah mensyariatkan bagimu tentang (pembahagian pusaka untuk) anak-anakmu, iaitu bahagian anak lelaki sama dengan bahagian dua orang anak perempuan” [TMQ an-Nisa’ (4):11].

Berdasarkan ayat ini, Islam telah menetapkan wanita berhak mendapatkan separuh dari bahagian lelaki dalam keadaan tertentu iaitu dalam ‘ashabah, seperti anak lelaki, adik beradik kandung dan adik-beradik sebapa.  Ini kerana dalam ‘ashabah, pemenuhan nafkah bagi wanita tersebut adalah menjadi tanggungjawab saudara lelakinya jika ia miskin walaupun wanita tersebut mampu bekerja.

Sebaliknya Allah Subhanahu Wa Taala telah menetapkan keadaan bahagian harta warisan yang sama dengan bahagian lelaki dalam keadaan yang lain pula.  Firman Allah Subhanahu Wa Taala : “Jika seseorang mati, baik lelaki mahupun wanita yang tidak meninggalkan ayah dan tidak mempunyai anak, tetapi mempunyai seorang saudara lelaki (seibu sahaja) atau seorang saudara perempuan (seibu sahaja), maka masing-masing dari kedua jenis saudara itu seperenam harta.  Tetapi jika saudara-saudara seibu itu lebih dari seorang, maka mereka bersekutu dalam yang sepertiga itu” [TMQ an-Nisa’ (4):12]

Berdasarkan ayat ini terjadinya kalalah al-ikhwah li umm[in] iaitu keadaan di mana seseorang itu (lelaki atau wanita) meninggal dunia sedangkan tidak mempunyai ayah, anak ataupun saudara-saudara kandung atau sebapa dan hanya mempunyai saudara-saudara seibu yang masih hidup, maka pemenuhan nafkah seorang wanita tidaklah menjadi tanggungjawab saudara lelakinya yang seibu kerana walaupun saudara lelaki seibunya termasuk mahramnya, namun ia tidak termasuk orang yang wajib memberikan nafkah kepadanya dan adalah adil apabila Islam menetapkan bahagian harta yang sama bagi wanita dan lelaki dalam hal seperti ini.

Dalam hal berpakaian, Islam disinonimkan dengan kuno dan sentiasa membataskan citarasa muslimah untuk berfesyen.  Sedangkan wanita muslimah diperintahkan untuk mengenakan pakaian sesuai syariat Islam dan dilarang untuk saling menyerupai (tasyabbuh) pakaian kaum lelaki.  Abu Hurairah radiallahu anhu meriwayatkan “Rasulullah SAW telah melaknat seorang lelaki yang berpakaian mengenakan pakaian wanita dan seorang wanita yang berpakaian mengenakan pakaian lelaki” [HR al-Hakim, dan ia mensahihkannya].

Dan dari Ibn Abbas RA, ia menuturkan: “Rasulullah SAW telah melaknat lelaki yang bertingkahlaku seperti wanita dan seorang wanita yang bertingkahlaku seperti lelaki. Rasulullah SAW bersabda: Keluarkanlah mereka dari rumah-rumah kalian. Ibn ‘Abbas berkata: “Maka Nabi SAW pernah mengeluarkan si Fulan dan Umar juga pernah mengeluarkan si Fulan.”   [HR al-Bukhari].

Kebencian pejuang gender dan feminisme semakin meluas dengan menyerang syariat Islam dari pelbagai sudut antaranya berkaitan mahar (mas kahwin) sebagai satu bentuk kewajipan seorang lelaki (suami) kepada wanita (isteri).  Antara tuduhan jahat yang dilemparkan adalah dengan menyerupai pemberian mahar ini seakan bayaran melanggani pelacur atau perempuan murahan.  Sedangkan mahar yang ditetapkan itu merupakan hak bagi seorang wanita (isteri) atas seorang lelaki (suaminya) dan kenikmatan hubungan suami isteri itu akan dirasakan oleh keduanya.  Firman Allah Subhanahu Wa Taala: “Berikanlah maskahwin (mahar) kepada wanita (yang kamu nikahi) sebagai pemberian dengan penuh kerelaan.  Kemudian jika mereka menyerahkan kepada kamu sebahagian dari mas kahwin itu dengan senang hati, maka makanlah (ambillah) pemberian itu (sebagai makanan) yang sedap lagi baik akibatnya”.   [TMQ an-Nisa’ (4):4]

Kata ‘Nihlah’ dalam ayat di atas bermakna pemberian, kerana ash-shadaq (mahar) adalah pemberian dan bukanlah ‘pengganti harga’ kemaluan wanita sebagaimana yang difahami oleh musuh-musuh Islam.

Dalam hal pencarian nafkah pula, Allah Subhanahu Wa Taala telah mewajibkan bekerja bagi kaum lelaki untuk memenuhi keperluan mereka yang di bawah tanggungannya.  Wanita pula tidak wajib bekerja dan hukumnya adalah mubah.  “Dan kewajipan ayah memberi makan dan pakaian kepada para ibu”  [TMQ al-Baqarah (2):233]. 

Namun betapa ramai wanita kini yang keluar bekerja dalam keterpaksaan kerana desakan hidup yang kian buruk akibat diterapkan sistem kapitalisma dalam segenap cabang kehidupan.  Malah terdapat sebilangan wanita yang keluar rumah untuk bekerja bukan kerana desakan hidup tetapi lebih kepada menyahut seruan yang dikumandangkan oleh pejuang gender agar wanita juga boleh dan perlu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.  Menurut mereka lagi wanita amat berpotensi untuk diketengahkan dalam pelbagai bidang pekerjaan yang selama ini dipelopori oleh kaum lelaki.

Kepimpinan juga merupakan salah satu isu yang tidak ketinggalan menjadi bahan bagi pejuang gender untuk menyerang hukum Islam.  Sedangkan Allah Subhanahu Wa Taala menjelaskan bahawa kepimpinan adalah bagi kaum lelaki seperti dalam hal rumahtangga, pemerintahan, imam solat, menjadi wali dalam pernikahan dan hak menjatuhkan talak berdasarkan firmanNya:“…oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (laki-laki) atas sebahagian yang lain (wanita).”  [TMQ an-Nisa’(4):3] 

Kepimpinan di atas berlaku kerana pelbagai taklif nafkah seperti mahar, makanan, pakaian dan tempat tinggal dibebankan ke atas bahu lelaki sesuai firmanNya:  “Dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian dari harta mereka” [TMQ an-Nisa’(4):3]. 

Sebaliknya bagi wanita pula mereka mendapat hak mengasuh anak (baik lelaki atau perempuan) yang masih kecil sedangkan kaum lelaki dilarang dari hal itu [Nizhamul Ijtimai,Taqiuddin an-Nabhani 2007, hal.132].  Malah Allah Subhanahu wa Taala juga menetapkan bahawa wanita berhak mengambil sendiri nafkah anak kecil (dari harta ayahnya) apabila si ayah enggan menafkahinya dan bersifat kikir. 

Dikisahkan Hindun pernah datang kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam lalu mengadu “ Ya Rasulullah, sungguh Abu Sufyan seorang lelaki yang sangat kedekut.  Ia tidak memberikan nafkah yang cukup bagi diriku dan anakku” Maka baginda bersabda: “Ambil sahaja olehmu apa yang mencukupi untuk dirimu dan anakmu secara makruf” . [Muttafaq ‘alayh dari jalur ‘Aisyah] 

Dalam menangani kes seumpama ini, seorang qadhi (hakim) akan memaksakan si suami memberikan nafkah kepada si isteri dan ditetapkan hak bagi si isteri untuk mengelola secara langsung nafkah buat diri dan anak-anaknya itu.  Manakala hak pengelolaan nafkah tersebut oleh si suami akan ditolak akibat menelantarkan isteri dan anak-anak yang berhak dipenuhi nafkahnya.  Begitulah bentuk gambaran hukum yang sebahagiannya dikhususkan kepada lelaki dan sebahagiannya pula khusus untuk wanita dan hendaklah lelaki dan wanita yang mengaku dirinya beriman kepada Allah Subhanahu Wa Taala redha akan hukum-hukum khusus tersebut.

Khatimah

Muslimah yang dikurniakan aqal oleh Allah Subhanahu Wa Taala untuk berfikir, yakinlah bahawasanya apabila Islam telah menetapkan sesuatu hukum ke atas manusia (lelaki dan wanita), redhalah dan laksanakan ia dengan penuh ikhlas dan rasa ketundukan kepada pencipta hukum.  Buanglah bibit-bibit perjuangan kesetaraan gender yang masih melekat di hati sanubari walau hanya secalit lintasan.  Jauhkanlah dari saling berasa iri hati dan dengki dengan mempersoalkan apa yang telah Allah lebihkan kepada sebahagian atas sebahagian yang lain.  Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala kelemahan dan kekurangan makhluknya dan tiada hukum sebaik hukum Allah dalam mengatur hidup manusia.  Renungi firman Allah : “Dan janganlah kamu iri hati terhadap apa yang dikurniakan Allah kepada sebahagian kamu lebih banyak dari sebahagian yang lain. (Kerana) bagi lelaki ada bahagian daripada apa yang mereka usahakan, dan bagi para wanita (pun) ada bahagian dari apa yang mereka usahakan” [TMQ an-Nisa’ (4):32].  Cukuplah ayat-ayat Allah ini sebagai panduan dalam menilai keyakinan dan kepasrahan kita terhadap kebesaran dan kekuasaan Allah. Wallahu ‘alam.
 

0 comments:

Post a Comment