Cerita apa nak subscribe kat Astro First ni

sedang review beberapa filem yang dimainkan di Astro First. Antara cerita ditayangkan adalah Hikayat Merong Mahawangsa, Dalam Botol, Senjakala, Dilarang Masuk dan ada beberapa buah filem lagi.

Review punya review, last-last aku tertarik dengan cerita Dilarang Masuk. Mungkin sebab temanya klain sikit dari filem-filem yang ditayangkan sebelum ini yang banyak berkisar tentang saka. 

Cerita Dilarang Masuk ni merupakan kisah thriller pengembaraan yang agak menarik. Apapun tunggu lepas habis  menonton, Insyaallah aku akan bagi rating.

Dibawah ni adalah sinopsis filem tersebut:

Dilarang Masuk bersifat sejagat, tidak bersandar kepada nama popular
PENGGUNAAN nama besar dalam filem menjadi formula kebanyakan syarikat penerbitan untuk mengaut keuntungan. Kadang kala, jalan cerita yang hendak disampaikan tidaklah seberapa tetapi nama-nama besar inilah yang menjadi daya penarik.
Namun bagi Cineworks Sdn Bhd, biarpun tidak meletakkan sandaran kepada nama popular, mereka yakin Dilarang Masuk mempunyai tarikan untuk meraih perhatian penonton kerana menyedari populariti genre seram di kalangan penggemar filem.
Bagi penonton yang sudah muak dengan bentuk filem yang sering disogokkan penerbit tempatan, mungkin ini masanya untuk mereka menikmati sebuah jalan cerita yang barangkali berbeza hasil sentuhan pengarah dari Singapura, Jeffrey Chiang.
Jeffrey yang pertama kali menonjolkan kebolehannya sebagai pengarah tidak menggunakan pendekatan yang lazim digunakan pengarah tempatan seperti elemen keagamaan dan bomoh. Sebaliknya Dilarang Masuk lebih kepada filem seram bersifat sejagat.
“Kami mengambil masa hampir setahun setengah untuk mencari pelakon bagi membintangi filem ini. Memang tak dinafikan populariti seorang pelakon amat penting untuk menarik penonton ke panggung, tetapi saya percaya jalan cerita juga penting untuk membuatkan penonton berkunjung ke pawagam, seterusnya melekat di kerusi hingga tamat tayangan.
“Saya sedar pelakon yang diambil membintangi filem ini masih belum cukup popular di sini. Tetapi mereka sangat berbakat, jadi saya mahu penonton mengikuti karakter mereka bukannya melihat kepada nama,” kata Jeffrey yang menjalankan sesi uji bakat sebanyak lapan kali bagi mencari pelakon bersesuaian untuk filem terbabit.

Menurutnya juga, kerana tidak begitu mempunyai pengetahuan yang mendalam mengenai bomoh, dia tidak memaparkan elemen berkenaan atau apa-apa yang berunsur kepercayaan sesebuah agama dalam filem terbabit. Sebaliknya dia menonjolkan sebuah kisah seram yang diharap mampu diterima oleh semua kalangan penonton.
Empat pemegang watak utama yang berjaya menambat hati Jeffrey ialah Shiqin Kamal, Azma Aizal Yusoof, Isma Hanum Husein dan Muniff Isa Badrul. Turut membintangi filem ini ialah Esma Daniel, yang bertindak sebagai penerbit bersama.
Babak dalam bilik gelap hilang 
DILARANG Masuk juga mencipta sejarah apabila menjadi filem pertama di negara ini menggunakan kamera DSLR jenis Canon EOS 5D Mark II sepanjang 16 hari penggambarannya. Biarpun hanya sebuah kamera DSLR, namun ia berjaya menghasilkan gambar yang cantik. Tambah Jeffrey lagi, penggunaan kamera jenis DSLR juga memudahkan kerja juru kameranya berikutan keadaan lokasi yang mempunyai keluasan terhad.
Filem yang menelan belanja hampir RM2 juta itu menjalani penggambaran pada April lalu. Penggambaran dilakukan di sebuah banglo terbiar di Bukit Larut, Taiping, Perak.
Menurut Jeffrey lagi, penggambaran Dilarang Masuk cukup mencabar kerana terletak di atas bukit yang hanya boleh dihubungkan dengan kereta pacuan empat roda.
“Penggambaran filem ini agak mencabar kerana kami perlu membawa penjana kuasa sendiri untuk mendapatkan bekalan elektrik dan juga air. Oleh kerana lokasi yang rumit, penggambaran dilakukan 16 jam sehari supaya ia boleh ditamatkan secepat yang mungkin.
“Sepanjang penggambaran pula, kami bernasib baik tiada sebarang kejadian pelik berlaku. Cuma, beberapa babak yang kami ambil dalam sebuah bilik gelap di dalam banglo itu didapati hilang. Bagaimanapun, kami mengambil keputusan untuk membatalkan saja babak itu kerana berasakan sesuatu yang tidak kena,” katanya.
Filem yang akan menjengah pawagam pada 7 April ini mengisahkan mengenai empat sahabat yang tersesat jalan. Mereka kemudian menemui sebuah banglo dan berhasrat menjadikan rumah itu sebagai tempat bermalam. Namun mereka tidak perasan adanya papan tanda yang tertulis perkataan ‘Dilarang Masuk’ di situ.
Apabila melangkah masuk ke dalam banglo berkenaan, mereka menemui wang, pistol dan dua mayat reput. Sejak itu, pelbagai kejadian tidak diingini berlaku.
Selain Malaysia, filem itu juga dijangka menjengah negara Asia lain. Namun, bagi mengekalkan keasliannya, filem itu tidak akan dialih bahasa sebaliknya penggunaan sari kata bakal digunakan.
Sementara itu, jelas Esma, penggunaan bahasa Melayu sepenuhnya di dalam filem ini bertujuan untuk melihat sejauh mana filem Melayu mampu menarik penonton tempatan dan juga apabila ia dipasarkan ke luar negara gara kelak.
Esma yang turut terbabit di dalam pemilihan barisan pelakon filem ini berkata, mereka tidak mahu mengeksploitasi nama pelakon popular sebaliknya mahu penonton menyedari sendiri kekuatan filem ini.
“Kami tidak menggunakan platform nama komersial supaya tidak timbul unsur kontroversi. Kami mahu penonton menilai filem ini kerana jalan ceritanya bukan kepada pelakonnya.
“Kami juga berharap dengan penggunaan kamera jenis DSLR yang julung kali dipakai dalam penghasilan filem tempatan mampu meraih kejayaan seperti Blair Witch Project dan Paranormal Activity. Dilarang Masuk penuh dengan unsur saspen dan perkara yang tidak dijangkakan oleh penonton,” katanya.
Sumber: 

0 comentários: