Hikayat Merong Mahawangsa

Photobucket
Oleh Elrafaei Sapi
ahmadelrafaei@hmetro.com.my

MINGGU ini filem epik Melayu yang menelan bajet RM8 juta, Hikayat Merong Mahawangsa (The Malay Chronicles: Blooddliners) akan mula ditayangkan.
Lantaran itu, rasa gementar mula bersarang dalam empat bintang utamanya, Stephen Rahman-Hughes, Ummi Nazeera, Gavin Stenhouse dan Jing Lu yang pertama kali dipertemukan KRU di layar perak sambil berkongsi tuah daripada sebuah kisah hebat pada zaman dulu kala.

Bagi Ummi, pembabitan awalnya menerusi siri popular, Nur Kasih di TV3 nyata melonjak popularitinya di mata peminat. Menaikkan lagi namanya, dia juga dikenali menerusi dua filem komedi, Lu Pikirlah Sendiri de Movie dan Hantu Kak Limah Balik Rumah.

Dalam Hikayat Merong Mahawangsa Ummi memegang watak Embuk yang menonjolkan imej gadis kampung zaman purba.
"Dalam filem ini, Embuk adalah anak angkat kepada Tok Penghulu Kesum (lakonan Datuk Rahim Razali). Embuk tidak menyukai Merong Mahawangsa (Stephen) kerana ibu bapanya pernah dibunuh orang Inggeris.

"Atas sebab itu, dia menjadi benci dan marah tetapi akhirnya jatuh cinta juga kepada lelaki itu. Dalam filem ini, saya banyak berlakon bersama Stephen dan Datuk Rahim.

"Sebelum penggambaran dijalankan, saya bersama pelakon lain terbabit mengikuti kelas lakon kelolaan Cikgu Fatimah Abu Bakar. Secara peribadi, saya seronok kerana berpeluang terbabit sama dalam filem ini dan sangat berbangga kerana ia akan ditayangkan di 72 negara," katanya.


Ummi, 21, percaya filem epik seperti itu ada kelompok peminat tersendiri dan yakin ia akan mendapat sambutan menggalakkan. Katanya, dia sudah lama berhasrat berlakon filem genre purba dan mahu timba pengalaman daripada Yusry.



"Ada babak mencabar seperti Embuk dirogol ketua lanun, Kamawas (Khir Rahman). Ketika itu usia Embuk baru 16 tahun dan dia bertemu Merong dua tahun kemudian," katanya.


Bagi Stephen pula, fokus kali ini bukan hanya bersandar kepada lakonan semata-mata, sebaliknya perlu menjaga aspek fizikal sebagai pahlawan yang gagah. Katanya, dia kerap menjalani latihan di gimnasium untuk memastikan bentuk badannya sempurna.

"Babak pertarungan cukup mencabar. Ini kali pertama saya berlakon cerita purba selepas membintangi pementasan Puteri Gunung Ledang. Yusry banyak membantu selama tiga bulan saya terbabit menjayakannya.
"Dalam menghayati watak Merong, ia memberi peluang kepada saya memperbaiki kemampuan bahasa Melayu. Saya sangat berbangga kerana dipilih memegang watak utama kepada filem ini," ujarnya yang menghormati ketokohan Datuk Rahim yang dianggap sebagai mentor barunya.

Dalam sibuk mempromosi filem ini, Stephen berhasrat menghasilkan album solo sebagai tanda penghargaan buat peminatnya di Malaysia. Album ini yang dijangka berada di pasaran pada Jun nanti menampilkan lagu ciptaan Azlan Abu Hassan, Audi Mok, Aubrey Suwito dan Omar K.
Bagi Gavin pula, dia ingin mencuba sesuatu yang baru di sini selepas berpengalaman berlakon teater dan drama TV selama tujuh tahun di London.

Dia dilahirkan di Hong Kong dan berhijrah ke England pada usia 10 tahun.

"Saya berkawan dengan Stephen ketika kami sama-sama berlakon teater di London. Menerusi Stephen, saya diperkenalkan kepada Yusry yang kemudian menghubungi ejen saya untuk menawarkan peluang berlakon filem ini.

"Antara teater dan filem, kedua memberi pengalaman yang sungguh berbeza. Apa yang dapat saya katakan, berlakon bersama Wan Hanafi Su mengingatkan saya pada wajah aktor handalan, Jeff Bridges. Begitu juga, Khir yang menunjukkan lakonan hebat menerusi wataknya," kata Gavin.

Memberi cabaran, Gavin menyatakan filem ini banyak menguji kekuatan fizikal dalam adegan pertempuran hingga dia mengalami kecederaan di bahagian lutut.

"Sepanjang penggambaran, Yusry dan Fatimah Abu Bakar banyak membantu saya mendalami karakter. Walaupun plot filem ini merujuk pada kisah lama tapi saya percaya ia tetap menarik dan relevan untuk ditonton," katanya.

Sama seperti Gavin, pendukung watak Puteri China, Jing Lu, berkata dia menerima tawaran berlakon ini menerusi Stephen ketika mereka sama-sama terbabit dalam bengkel teater di London.

Pelakon berasal dari Shanghai ini berkata, dia sangat teruja mencuba sesuatu yang baru lalu tertarik menerima tawaran Yusry untuk membintangi filem epik yang unik ini.

"Saya melihat plot filem ini suatu yang menarik untuk disampaikan kepada penonton. Selain berlakon, pengalaman paling indah dirasakan membabitkan hubungan pelakon dan kru produksi yang sudah seperti satu keluarga.

"Ada satu adegan berbahaya ketika Khir menculik saya lalu dibawa ke atas kapal dengan 'terbang' menggunakan tali. Ketika itu, saya berasa sangat gerun dan bimbang kalau-kalau tercedera atau mungkin juga nyawa boleh melayang.

"Hikayat Merong Mahawangsa sangat istimewa kerana ia filem pertama lakonan saya di Malaysia. Ia memberi pengalaman baru untuk mengenali budaya dan makanan rakyat negara ini," katanya.

Keempat-empat mereka nyata tidak sabar-sabar mengajak peminat filem ke pawagam untuk berhibur dan menikmati kepakaran KRU menghasilkan sebuah sejarah baru buat industri perfileman tempatan.

Sumber: Harian Metro

0 comentários: