Anak koma: Mekanik rayu bantuan

Kepada yang mampu, bantulah sekadar kemampuan anda.


07/04/2011 1:52pm

KOTA BAHARU – Seorang mekanik di sini hari ini merayu bantuan orang ramai bagi menampung kos penjagaan dan rawatan anaknya yang kini koma setelah terbabit dalam kemalangan jalan raya pada 12 Februari lepas.
Koh Choon Han, 61, berkata pendapatannya sekitar RM1,000 sebulan tidak mencukupi bagi membeli lampin pakai buang, ubat dan susu khas untuk anak lelakinya itu yang memerlukan kos penjagaan RM1,500 setiap bulan.
Koh Lin Wen, 19, kini terlantar di katil khas selepas terbabit dalam satu kemalangan pada 12 Februari lalu di Kubang Kerian di sini.
"Anak saya ini koma selama beberapa minggu dan dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian. Semua perbelanjaan terpaksa diurus keluarga, saya berharap orang ramai dapat membantu saya,” kata Koh di rumahnya di Jalan Pasir Puteh di sini hari ini.
Isteri beliau, Koe Kam Huwai, 57, berkata sejak kemalangan, anaknya itu juga sukar untuk bertutur dan kadang kala seperti hilang ingatan dan berkelakuan seperti kanak-kanak kecil.
Ketua MCA Bahagian Kota Baharu, Tan Ken Ten, yang melawat keluarga itu hari ini berkata MCA telah menderma sebanyak RM4,000 hasil sumbangan orang ramai dan akan cuba memohon bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk Choon Han.
Mereka yang ingin membantu boleh menghubungi Koh Choon Han di nombor 0199597743 atau di alamat Lot 1146 D, Batu 1/4, Jalan Pasir Puteh, 16150 Kubang Kerian, Kota Baharu. - Bernama
Sumber: Kosmo Online

0 comentários: